Abdul Mutalib telah bernazar
untuk korbankan seorang zuriatnya
Maka jatuhlah ia pada Abdullah
anaknya yang paling indah wajahnya
.
Kebesaran Allah yang menunjuk jalan
ditukarkan dengan dikorbankan unta
Maka selamatlah anaknya Abdullah
disyukuri dengan linangan yang suci
.
Abdullah pemuda kacak dan tampan
dikahwinkan Aminah, puteri rupawan
Maka mengandung ia akan Baginda
yang penuh kemuliaan dan keberkatan
.
Ayahnya Abdullah dipanggil Tuhan
berduka Aminah, anaknya yatim
Rabi’ul Awwal lahirlah bayi yang mulia
yang bersujud pada Allah Yang Esa
.
Amat sempurna indah memancar
cahayanya menyinari seluruh alam
Seluruh makhluk langit dan bumi
mengucap salam atas kewujudannya
.
Abdul Mutalib menatap bayi yang indah
terpilu hati melihat yatim tiada berayah
Dibawa cucunya tawaf di Kaabah
berdoa pada Tuhan sepenuh hati
.
Maka mendengarnya bisikan pada qalbi
namakan Muhammad, dia insan terpuji
Apabila Halimah Sa’adiah memandang Baginda
kasihnya mekar dipangkunya pulang
.
Padahal ketika itu tiada yang mahu menyusunya
kerana Baginda anak yatim yang tiada kekayaan
Barakah rezeki melimpah pada keluarga Halimah
kerana cinta mereka pada Baginda
.
.
Bayi yang barakah dikembalikan pada Aminah
lalu dibawa menziarahi pusara ayahnya Abdullah
Kesedihan menimpa lagi Baginda yang kecil
ibunya Aminah pula meninggal diperjalanan
.
Dipelihara pula datuknya sehingga meninggal
dipelihara pula oleh Abu Talib yang amat miskin
Hidup kecilnya sudah berdikari
itulah susunan Allah Yang Maha Penyayang
.
Mengembala kambing jauh di gunung
tiada pernah merungut akan kesusahan
Kelaparan dan kesunyian adalah kehidupannya
haiwan dan gunung menjadi teman penghiburnya
.
Gelaran Al-Amin diberikan padanya
hidupnya suci tiada berdusta
Dilamar Siti Khadijah sebagai suami
melihat akhlak indah menguruskan dagangannya
.
Digua Hira’ Baginda berkhalwah sayu
Maka didatangi Jibril membawa wahyu
Bacalah Wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu
engkaulah penutup segala Nabi dan Rasul
.
Duhai para saudara semua
apakah kalian tiada gembira
Kelahiran Baginda penyelamat insan
dari kegelapan tiada bertuhan
.
Duhai para saudara sekelian
janganlah berpaling dari Nabi mu
Jalannya membawa pada kebahgiaan
jalannya menghancur nafsu dan syaitan
.
Bagindalah nanti yang akan mencarimu
ketika ketakutan di Hari Akhirat
Syafaatnya luas tiada terhingga
para malaikat tak dapat menahannya
Maafkan kami yang lalai selawat padamu
.
sedangkan engkau amat mencintai kami
Maafkanlah kami wahai jiwa yang pemaaf
diri kami yang penuh dosa dan noda
.
Ya Rasulullah, sudilah kiranya sudilah Tuan memandang kami
Ya Rasulullah, sudilah kiranya sudilah Tuan memandang kami
Ya Rasulullah, sudilah kiranya sudilah Tuan memandang kami